Mangsa, Nik Azhar Che Mat, 44, yang mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk belakang dijumpai Orang Asli pada pukul 2 petang ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Mazlan Saari berkata, seramai tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.08 petang.

Katanya, ketika pihaknya sampai di lokasi tersebut, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak bermaya di luar kenderaan itu yang rosak teruk di tepi sungai.

“Mangsa kemudiannya dibawa naik ke tebing menggunakan kerusi roda yang diikat pada tali dan diserahkan kepada Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang membawa muatan sayur dalam perjalanan dari Ladang Agroto berhampiran sempadan Cameron Highlands-Ipoh ke Klang, Selangor.

Katanya, dalam nahas pada pukul 11.45 malam itu, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

“Usaha menyelamat telah dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai. Mangsa dpercayai mengalami kecederaan patah rusuk belakang dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya. - UTUSAN ONLINE