Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintenden Alexson Naga berkata, tindakan kompaun sehingga RM150 boleh dikenakan terhadap pemandu yang gagal berbuat demikian dan waran tangkap akan dikeluarkan jika gagal menjelaskan saman dalam tempoh ditetapkan.

“Kes seumpama ini akan disiasat di bawah Seksyen 15(B) Kaedah Lalulintas LN 177/1959 yang tertakluk dalam Etika Berpakaian Kemas dan Bersih.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemandu yang ingkar sebagai pengajaran untuk sentiasa menghormati peraturan jalan raya serta keselamatan pengguna yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran gambar kertas saman yang dimuat naik pengguna Facebook seterusnya menjadi viral baru-baru ini.

Tambah Alexson, pihaknya mengesahkan ada mengeluarkan saman seperti gambar tersebar itu ke atas seorang pemandu lori berusia 30 tahun yang melakukan kesalahan tidak mematuhi kod pemakaian diwajibkan terhadap pengendali jentera berat di Jalan Kuching-Serian, dekat sini Rabu lalu.

“Tindakan pemandu lori itu membawa lori dengan hanya memakai selipar sememangnya salah di sisi undang-undang malah dikhuatiri boleh membahayakan pengguna lain.

“Undang-undang memakai kasut juga dikuatkuasakan terhadap penunggang motosikal namun kelonggaran diberikan terhadap pemandu kereta,” ujarnya.