Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi berhampiran sebuah pusat beli belah, kesemua lapan pemilik kenderaan dan pemandu Lamborghini berusia 35 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, selepas merempuh lapan buah kenderaan itu, kereta mewah tersebut melanggar sebatang pokok palma di situ.

“Siasatan mendapati kereta mewah yang dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lapan kende­raan dan sebatang pokok. Rempuhan itu menyebabkan pokok berkenaan tumbang menimpa kereta mewah tersebut.

“Kemalangan itu mengakibatkan kesemua kenderaan mengalami kerosakan dengan kereta mewah itu rosak teruk pada seluruh bahagian,” katanya.

Mohd. Ali berkata, semasa kejadian pemandu kereta tersebut tidak berada di bawah pengaruh alkohol sebaliknya berada dalam keadaan keletihan.

“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.