Turut ditahan enam lagi pemandu bas melakukan pelbagai kesalahan teknikal yang boleh membahayakan keselamatan penumpang.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pemandu berusia 56 tahun itu ditahan pada hari pertama operasi dijalankan di Terminal Bersepadu Selatan, di sini.

“Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Antidadah Kebangsaan pada kali ini, sebanyak 450 buah bas diperiksa.

“Satu daripada pemandunya dikesan positif dadah dan kita akan turut ambil tindakan terhadap pengusaha syarikat bas tersebut kerana membenarkan seorang penagih dadah mengendalikan kenderaan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Che Hasni, operasi dijalankan secara berterusan sehingga 22 Jun depan di terminal-terminal bas, lebuh raya, melalui penyamaran di dalam bas dan kawasan-kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan bagi memastikan keselamatan penumpang yang pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri. - UTUSAN ONLINE