Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd. Yusof berkata, pemandu tersebut sudah berkhidmat selama dua tahun dengan syarikat itu.

"Kita terima laporan dari pusat kawalan pada pukul 8 malam berkenaan insiden melibatkan bas di laluan 221, Keramat ke Ampang Point.

"Semasa insiden berlaku, bas sedang beroperasi tetapi kita belum pasti sama ada terdapat penumpang di dalamnya atau tidak," katanya ketika ditemui di Depoh RapidKL Maluri, di sini hari ini.

Sebuah video tular dalam media sosial malam tadi menunjukkan seorang penunggang motosikal mengejar sebuah bas henti-henti.

Menerusi rakaman itu, bas terbabit dilihat berada dalam keadaan laju dan dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurut Shamsul, tiada kemalangan jiwa dalam insiden tersebut dan punca kejadian juga belum dikenal pasti.

"Apa yang pasti, kita sentiasa memeriksa keadaan bas dan kerap melakukan pemeriksaan rambang terhadap pemandu.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan memohon tiada sebarang spekulasi berkenaan kes ini," jelasnya.

Tambahnya, mangsa yang terlibat insiden tersebut boleh membuat tuntutan kerosakan di talian 03-78852585. - UTUSAN ONLINE