Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa, Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, dari Kampung Panji di sini dikatakan sedang memancing bersama  rakannya sebelum dikejutkan dengan insiden kereta terjunam berkenaan. 

Tindakan pantas mangsa bersama empat orang awam lain yang berada berdekatan berjaya menyelamatkan Suriati Rosli, 38, bersama dua anaknya dikenali sebagai Iman, 4, dan Dafaeati Sxeani, 3, di samping anak saudara, Nurdiana Azeani, 24.

Setakat pukul 1 pagi ini, Abdul Bari masih belum ditemukan bagaimanapun difahamkan, pasukan penyelamat sudah menjumpai lokasi kenderaan pacuan empat roda terbabit.
 
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Mazimi Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat itu digerakkan pada pukul 9.51 malam dengan kekuatan 24 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi. 

Katanya, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pihak marin melakukan pencarian di permukaan air dan selaman. 

"Malam ini kita ada dua operasi iaitu mencari mangsa yang dikhuatiri lemas dan juga lokasi kereta pacuan empat roda. Setakat ini kesukaran kita adalah arus pada muara.

"Berdasarkan maklumat daripada semua terlibat, kereta itu dikatakan tersalah masuk gear dan semasa pemandu menekan pedal minyak, kenderaan pacuan empat roda tersebut terus terjunam ke dalam sungai dalam keadaan mengundur," katanya kepada pemberita. 

Mohd. Mazimi memberitahu, empat beranak yang merupakan penduduk tempatan itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut. - UTUSAN ONLINE