Dalam kejadian kira-kira pukul 9.12 pagi itu, mangsa, Muhammad Hamzah Haris Saiffudin, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintenden Bingkok John berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya ini ke arah Kota Sentosa di sini.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah trak tentera.

"Pemandu trak berkenaan tidak sempat mengelak merempuh kereta mangsa mengakibatkan pelajar tersepit di tempat duduk, pemandu trak berusia 35 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN ONLINE