Dalam kejadian kira - kira pukul 12.20 pagi, mangsa, Nur Izzatu Rosli ,16 , maut selepas kereta jenis Proton Iswara yang dinaikinya dipandu seorang lelaki itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat pelanggaran berkenaan, kereta dinaiki mangsa berpusing dan terhumban ke dalam parit.

“ Mangsa telah tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beliau memberitahu,pihaknya turut menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini dalam satu operasi malam tadi.

Katanya, lelaki berusia 23 tahun ditahan atas kesalahan memandu secara melulu. - UTUSAN ONLINE