Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd. Sokani Mat berkata, air Sungai Galas naik kira-kira pukul 6 pagi ini selepas hujan lebat sejak semalam.

“Hujan berterusan menyebabkan air sungai melimpahi jalan. Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1; (SK) Limau Kasturi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap tidak dapat memulakan sesi pembelajaran hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Sokani, sebanyak lapan keluarga membabitkan 30 orang berpindah ke Pusat Pemindahan SK Limau Kasturi 2 selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, seorang wanita yang sedang berpantang terpaksa meredah banjir separas pinggang sambil mendukung bayi sulung­nya berusia 20 hari selepas rumahnya di kampung yang sama dilanda banjir.

Siti Rohaida Razak, 20, terpaksa meranduk banjir kerana bimbang dengan keselamatan bayinya, Mohd. Harraz Aizat Harun selepas paras air naik mendadak.

“Saya hanya risaukan keselamatan dan kesihatan anak yang masih kecil. Ini pengalaman pertama saya berdepan banjir dan tidak sempat membuat persediaan apabila hanya sempat membawa beberapa helai pakaian,’’ katanya di sini hari ini.

Siti Rohaida bersyukur apabila mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dapat menggantikan pakaian basah yang dipakai sejak pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin mengesahkan dua kawasan iaitu di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh dan Limau Kasturi ditenggelami air bagaimanapun keadaan keseluruhan masih terkawal.