Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa cedera pada hampir keseluruhan anggota badannya akibat terkena tembakan

dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Komisioner Mohd. Rozi Jidin, kejadian berlaku ketika mangsa, Nur Syahida Bakar dan keluarga berada di dapur untuk makan malam.

“Ketika bapa mangsa, Bakar Saad, 46, sedang makan di rumah bersama ahli keluarga secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan di dapur rumah.

“Bapa mangsa membuat pemeriksaan dapati terdapat banyak butir kesan peluru bertabur di peti ais rumah dan terkena pada muka serta badan anak perempuannya,” katanya di sini hari ini.

Katanya, suspek yang melepaskan tembakan itu kemudian bergegas ke rumah mangsa dan meminta maaf kerana tersalah sasaran kerana ingin menembak burung di kawasan itu.

“Polis menahan tiga suspek untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya. - UTUSAN ONLINE