Namun, dalam kejadian kira-kira pukul 6.54 pagi itu, kebakaran tersebut hanya melibatkan sebuah bilik asrama yang menempatkan 14 pelajar lelaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, James Gani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 6.55 pagi.

Katanya, lima anggota bersama sebuah jentera dan tiga anggota bomba sukarela dari Bunan Gega di sini, bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

"Tiba di tempat kejadian, bomba mendapati kebakaran sudah dapat dipadamkan oleh pihak sekolah dengan menggunakan 35 unit alat pemadam api dan satu aliran salur bantu mula dari bangunan sekolah berkenaan.

"Anggota bomba hanya meneruskan kerja pemadaman sisa kebakaran yang masih ada bagi memastikan kebakaran terkawal sepenuhnya," katanya ketika dihubungi pagi ini.

Mengulas lanjut, James memberitahu, siasatan awal mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik asrama lelaki jenis struktur kekal tiga tingkat.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat satu asrama terbabit.

Tambahnya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

"Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan," ujarnya.-UTUSAN ONLINE