Salah seorang daripada pelajar tahfiz tersebut, Muhammad Ihsan Husin, 16, berkata, ketika itu dia dan lima lagi rakan berada di tingkat dua.

“Kami ketika itu cuba menye­lamatkan diri selepas menye­dari berlaku kebakaran di tingkat tiga.

“Waktu itu, pintu asrama dah terbakar dan saya nampak ada orang sedang cuba cabut jeriji di pintu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ihsan, ketika cuba menyelamatkan diri, dia terdengar suara seorang kakitangan pusat tahfiz meminta menyelamatkan anaknya yang berada di dalam bilik asrama.

“Kami kemudian naik semula dan kawan saya panjat tingkap untuk selamatkan bayi manakala saya berada di tingkat dua untuk sambut bayi terbabit yang dihulurkan dari dalam asrama.

“Ketika itu, api semakin marak dan kami selamatkan diri sebelum menyerahkan bayi tersebut kepada ibunya,” katanya.

Ujarnya, dia dan rakan-rakan lega kerana dapat menyelamatkan bayi tersebut yang merupakan anak kepada kakitangan pusat tahfiz dan warden yang kini sedang mengerjakan haji.