Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.20 petang itu, motosikal jenis Yamaha Y150ZR yang ditunggang oleh mangsa, Nur Wardiah Syahirah Mustafa, 14, hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah Perodua Viva yang terletak di bahu jalan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa yang datang dari arah Jalan Pantai Cahaya Bulan menuju ke Kota Bharu itu terjatuh di tengah jalan sebelum digilis sebuah lori yang datang dari arah sama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan dan pihak polis sedang berusaha mengesan pemandu lori yang melarikan diri akibat perlanggaran itu,” katanya di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE