Dalam kejadian pukul 8.15 pagi, Norazian Rosli, 14, lengkap berpakaian sekolah dalam perjalanan ke sekolah tersebut menaiki motosikal ditunggangi kakaknya, 19.

Apabila sampai di tempat kejadian motosikal dinaiki mereka dari Sengkang ke Bukit Gambir bertembung dengan lori tiga tan dari arah bertentangan yang sedang membelok ke kanan menghala kawasan kebun.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan anggota badan.

Sementara kakak mangsa terselamat tetapi patah tangan kanan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Abdul Manaf Syukri, 48, berkata, kejadian tersebut disedarinya apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan utama yang terletak kira-kira 30 meter dari kebun sawit tempatnya bekerja.

Berikutan itu, katanya, dia kemudian ternampak seorang pelajar wanita berpakaian sekolah terbaring kaku di atas jalan dan kemudian orang ramai menghubungi polis dan ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak mengesahkan laporan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan di balai polis berhampiran.