Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Mujahidah Mohd. Isa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba memotong sebuah treler yang juga datang dari arah sama iaitu Taman Seraya, Sungai Petani.

“Mangsa yang kemudian memasuki laluan bertentangan dipercayai gagal mengelak sebuah motosikal lain yang datang dari arah Taman Permatang Gedong, Sungai Petani lalu bergesel sebelum terjatuh di tengah jalan.

“Treler yang meneruskan perjalanan di laluan berkenaan tergilis mangsa pada bahagian belakang tayarnya. Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang merupakan akauntan pula mengalami kecederaan pada bahagian jari dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sazalee, mangsa yang cedera dan maut dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE