Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu menyebabkan kedua-dua mangsa, Mohd. Ridwan Ismail, 23, dan Muhamad Daniel Afsham Mohamad Raf, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang serius.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan awal mendapati Mohd. Ridwan yang menunggang motosikal Honda EX5 dari jalan Melawi menghala ke Kuala Besut dipercayai bertembung secara tiba-tiba dengan sebuah motosikal Kriss Modenas yang ditunggangi Muhamad Daniel Afsham yang memasuki haluan yang bertentangan.

“Dipercayai, pertembungan yang kuat menyebabkan Mohd Ridwan yang berasal dari Jabi, Jerteh, Terengganu dan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku itu maut di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa tidak memiliki lesen memandu motosikal. Malah, Muhamad Daniel Afsham didapati tidak memakai topi keledar keselamatan ketika menunggang motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga masing-masing.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya nasihatkan supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati pada musim perayaan ini dengan mengamalkan pemanduan berhemah, jangan terlalu laju dan patuhi undang-undang.

“Ibu pasti perlu pastikan anak jagaan yang tidak memiliki lesen tidak memandu motosikal terutama di jalan raya yang semakin sibuk,” katanya. - UTUSAN ONLINE