Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, Mohammad Fais Ali Ahmad, 16, tiba-tiba rebah di atas padang dan diberi bantuan pernafasan oleh guru sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Maznah Abu Bakar berkata, bagaimanapun pelajar itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Bedah siasat mengesahkan punca kematian Mohammad Fais adalah disebabkan serangan jantung," katanya di sini hari ini.

Maznah turut menafikan dakwaan yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan pelajar itu meninggal dunia akibat strok haba.

Katanya, keadaan cuaca tidak terlalu panas semasa kejadian dan difahamkan perlawanan bola sepak yang disertai mangsa baru bermula beberapa minit sebelum dia rebah.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE