Pelajar lelaki tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Syakir Nizamuddin Shahrulniza maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, semasa kejadian pada pukul 1.30 petang itu, mangsa yang baharu pulang dari sekolahnya dalam perjalanan dari arah Ipoh hendak ke Parit.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pelajar yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC cuba memotong sebuah kenderaan namun telah bergesel dengan kereta Proton Waja yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa telah terjatuh di tepi jalan manakala motosikalnya pula terseret lalu melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang berada di laluannya. Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, MPV itu turut dilanggar sebuah van jenis Maxus V80 yang juga dari arah sama.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat," katanya.

Ujar Mohamad Zainal, kejadian ketika hujan itu berlaku di jalan selekoh dua hala dengan sistem garisan berkembar.

Katanya, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE