Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Muhammad Redwan Fuad, 17, yang menunggang motosikal Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Suraliza Abdul Shukor, 45, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, ketika kejadian, Muhammad Redwan menghala dari Pulau Keladi hendak ke SMK Tengku Abdullah.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai menekan brek motosikal ditunggangnya kerana mengekori rapat kenderaan yang berada di hadapan sebelum tergelincir lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Jarak yang dekat menyebabkan Perodua Myvi dipandu Suraliza yang datang dari arah hadapan telah melanggar motosikal ditunggang oleh mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE