Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari semasa mangsa, Muhammad Qayyum Zamri, 12, yang merupakan pelajar Tahun Enam, Sekolah Agama Al-Islahiyah itu ke sungai berkenaan bersama dua rakannya dengan menaiki basikal.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, walau bagaimanapun semasa mangsa ingin mengubah lokasi memancing, basikalnya telah terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Mangsa telah terjun untuk mengambil semula basikal itu tetapi tidak timbul-timbul. Rakan mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, pasukan Bomba dan Penyelamat yang dihubungi kemudian menemukan mayat mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE