ALOR GAJAH 2 April - Seorang pelajar tingkatan empat ditemukan mati lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini tengah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Hamdani Mohd. Asri, 16, dari Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan mandi bersama abangnya, Redzuan Ariff, 24, di pantai tersebut sebelum dia dikatakan lemas.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini oleh unit penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak jauh dari lokasi dia dilihat kali terakhir sebelum lemas.
Abangnya bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang ramai dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan.
Salah seorang saudara mangsa, Mohd. Najib Kassim, 39, berkata, mereka sekeluarga menginap di pusat peranginan berhampiran sejak semalam untuk menyertai program hari keluarga.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai pasukan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta nelayan sekitar. - UTUSAN ONLINE