Kemalangan pada pukul 11.45 pagi itu menyebabkan Ain Zulaikha Jasirolnizam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu turut mengakibatkan ibu dan adik lelaki mangsa, Azni Abdul Rashid, 48, dan Ahmad Faiz, 3, masing-masing bengkak tangan dan luka di kepala.

Seorang abang dan adik lelaki mangsa yang berusia 16 dan 10 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kemalangan itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Manong untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Chenderong Balai.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Exora dipandu bapa mangsa, Jasirolnizam [email protected] Aziz, 47, hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di bahu jalan sebelah kanan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang sebelah kiri cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE