Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, Ahmad Muhaimin Fathil Suhairi, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang disyaki dipandu laju itu tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan.

“Menyedari lori telah dilanggar dari arah belakang, pemandu berusia 24 tahun itu telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan membawa bersama kereta mangsa yang melekat di belakangnya.

“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala dan muka. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori itu tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE