Mangsa yang terbunuh ialah Mohamad Syazren Abdul Rahim, 29, pekerja syarikat Propel di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Kemalangan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan dalam perjalanan dari arah pekan Sungai Petani menghala ke Lagenda Height di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

"Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham yang berasal dari Bandar Seri Astana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Deraka, Kota Kuala Muda di sini. UTUSAN ONLINE