Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa berusia lingkungan 60-an disambar api selepas berlaku  letupan apabila dia membuka pintu bilik salur elektrik itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, kejadian itu menyebabkan anggota badan mangsa lelaki tersebut melecur 80 peratus.

"Kami terima maklumat pada pukul 1.15 tengah hari dan mendapati seorang lelaki sedang terbaring di hadapan bilik salur elektrik itu apabila tiba di lokasi.

"Mangsa didapati berada dalam keadaan kritikal lalu pihak bomba menghantarnya ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan," katanya di sini hari ini.

Norazam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bilik salur elektrik di tingkat bawah bamgunan itu turut terbakar, namun punca kebakaran bilik salur elektrik tersebut masih dalam siasatan.

ASPUTI SUPARDI
ASPUTI SUPARDI 

Sementara itu, seorang pekerja di bangunan itu, Asputi Supardi, 46, berkata, kira-kira lima minit sebelum kejadian dia terserempak dengan mangsa yang kelihatan tergesa-gesa menuju ke arah bilik salur elektrik.

"Selepas itu saya tertidur namun terjaga apabila mendengar letupan kuat. Ketika itu ruang di tingkat dua diselubungi asap hitam dan saya bergegas turun ke tingkat bawah.

"Ketika itu pekerja-pekerja lain sudah berkumpul di luar bangunan dan anggota bomba sudah tiba untuk memadamkan kebakaran," katanya yang tinggal di bangunan berkenaan.

Katanya, dia mengenali mangsa yang dipanggil 'uncle' kerana mereka diberikan tempat tinggal oleh majikan di bangunan itu sejak 18 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE