Mangsa, Mohamad Nuqman Afiq Ahmad Narizan, 20, dari Permatang Damar Laut, Pulau Pinang, meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Butterworth.

“Mangsa merempuh lori tersebut yang pada ketika itu sedang mengundur untuk membelok masuk ke satu tempat setelah selesai menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Pemeriksaan mendapati pemandu lori jenis Isuzu itu merupakan warga India berusia 47 tahun dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987,” kata Adzli lagi. - UTUSAN ONLINE