Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Nur Aqilah Sabrina Mahamad Zahir, 21, yang menunggang motosikal jenis Benelli 135, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sewaktu kejadian, pemandu kereta Nissan X-Trail berusia 72 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Meru Raya.

Namun katanya, pemandu tersebut mendakwa lampu isyarat di laluannya berwarna merah dan berkelip-kelip akibat rosak.

“Lampu isyarat di laluan lain juga didakwa berwarna merah, jadi dia meneruskan perjalanannya.

“Namun, secara tiba-tiba, motosikal dinaiki mangsa didakwa datang dari arah kiri dan melanggar kenderannya di sebelah tepi kiri. Bagaimanapun, pemandu SUV itu tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan di leher mangsa akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE