Mangsa, Muhammad Faiz Romli, 26, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggangi mangsa melanggar bahagian tepi kiri SUV jenis Mazda CX-5 itu yang membelok ke kiri sebelum mangsa tercampak ke depan.

“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan datang dari arah yang sama iaitu dari Bayan Lepas menuju ke Batu Maung.

“Pemandu SUV yang juga seorang pengurus sebuah syarikat berusia 46 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) juga mengesahkan bahawa punca kematian mangsa ialah akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE