Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa Mohd. Faizal Mohamad Fadzil, 36, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Bakau Tua, Penaga menghala ke Sungai Dua sebelum dirempuh kereta itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang tidak memiliki lesen memandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan manakala pemandu kereta tidak cedera.

“Kejadian itu berlaku apabila pemandu kereta itu cuba mengelak sebuah kereta lain yang memasuki laluannya sebelum dia terbabas ke arah kanan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan polis telah menahan pemandu kereta yang berusia 21 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN PENANG