Nahas berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika Lin Fu Sheng, 35, melakukan kerja-kerja penyelenggaran di atas kapal korek terbabit.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, letupan berlaku di bahagian kabel motor menyebabkan bilahnya terpelanting dan terkena pada kepala mangsa.

Menurut Abu Zaki, akibat terkena bilah motor itu, otak kepala mangsa terburai di atas kapal dan mangsa terjatuh ke dalam laut.

“Susulan nahas itu, Kapal Maritim Danga dan Bot Kilat 20 telah digegaskan ke lokasi kejadian kira-kira pukul 3.05 petang pada hari kejadian selepas menerima maklumat dari Kedutaan China.

“Namun, sehingga kini operasi mencari mangsa masih gagal,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Abu Zaki memberitahu, ketika kejadian, terdapat lima orang pekerja termasuk mangsa dan kedua-dua ibu bapanya, yang kesemuanya warganegara China, berada di atas kapal terbabit.

“Kejadian itu turut mengakibatkan bapa mangsa yang merupakan kapten kapal dan ibu mangsa (tukang masak) diserang penyakit jantung.

“Mereka bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” ujarnya.

Tambahnya, kapal korek berkenaan berdaftar di negara China dan dalam perjalanan ke Bangladesh dari Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN ONLINE