Namun Amir Rifqin yang ber­usia 41 hari pada hari ini tidak akan mendapat kasih sayang seorang bapa buat selamanya, apabila Azani maut dalam kemalangan di Kampung Atas Pinggir di sini pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika Azani meneruskan rutin hariannya berulang alik dari rumah mereka di Kampung Kubang Terap ke pejabatnya di Tunjong, Kota Bharu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC.

Difahamkan, setiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Pero­dua Kelisa membelok ke kanan secara mengejut dan mangsa tidak sempat mengelak serta terus me­rempuh kenderaan tersebut.

Isterinya, Zunainah berkata, Amir Rifqin yang merupakan anak ketujuh mereka dilahirkan pada awal Ramadan lalu dan mereka seke­luarga amat teruja untuk menyambut Adilfitri bersama 'orang baharu'.

Katanya, arwah suaminya keluar ke tempat kerja dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 7.30 pagi dan dia dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh anggota bomba yang datang ke rumah kira-kira dua jam selepas itu.

“Aidilfitri kali ini sungguh bermakna buat kami sehingga dikejutkan dengan kejadian ini kerana arwah tidak me­nunjukkan sebarang perubahan.

“Saya reda dengan tragedi ini dan menerima hakikat akan membesarkan Amir Rifqin serta enam lagi anak termasuk yang sulung berumur 21 tahun sendirian selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, di sini hari ini.

Zunainah memberitahu, arwah suami baru sahaja memulakan tugas pada Ahad lalu selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri selama seminggu.

Katanya, jenazah arwah suami dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal selepas solat asar hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar buat jabatan itu kerana Azani seorang pegawai yang cukup komited dalam melaksanakan amanah.

“Saya mewakili seluruh warga JBPM Kelantan ingin merakamkan ucapan takziah ke atas keluarga di atas pemergian arwah,” katanya.