Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerja penyelenggaraan perparitan perlu dilakukan dengan betul dan sistematik agar tiada saluran yang tersumbat sehingga menghalang laluan air semasa hujan lebat.

“Pemeriksaan dan penyelenggaraan perparitan sepatutnya dilakukan setiap masa oleh PBT. Langkah itu perlu bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sutera Harbour Resort, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Hujan lebat yang berlaku sejak tiga hari lalu dan dijangka sehingga Jumaat ini telah mengakibatkan bandar raya ini, Papar, Tuaran, Kota Belud dan Beaufort dilanda banjir kilat.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan, keadaan perparitan bukan masalah utama yang menyebabkan berlaku banjir kilat di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya.

Menurut beliau, ini kerana pihak majlis perbandaran dan daerah sering melakukan tugas menyelenggara perparitan setiap hari.

“Ini adalah fenomena semula jadi apabila taburan hujan luar biasa mencecah sehingga 135 milimeter (mm) sehari berbanding hujan normal iaitu 35 hingga 50 mm,” katanya. - UTUSAN ONLINE