MUHAMMAD
MUHAMMAD

Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, persedian awal penting bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku khususnya ketika hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

"Orang ramai diminta agar lebih peka dengan keadaan semasa serta mematuhi arahan daripada pihak yang berkaitan. Jangan kita memandang remeh perkara ini kerana ia melibatkan soal keselamatan keluarga, harta benda termasuk nyawa.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada banjir sebelum ini untuk tindakan awal," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Peringatan itu dibuat susulan kenyataan Jabatan Meteorologi berhubung hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur yang dijangka berterusan bermula hari ini hingga Ahad.

Menurut Muhammad, antara kampung berisiko banjir di kawasan ini ialah Kampung Tiong, Taman Tiong dan Kampung Seribong.

Dalam pada itu, beliau berkata, skuad banjir Parlimen Kubang Kerian sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku banjir.

"Melihat kepada keadaan cuaca hari ini kurang baik, hujan berterusan jadi kita perlu berwaspada," katanya. - UTUSAN ONLINE