Timbalan Presiden MRA, Khairil Anuar Khalid berkata sejak 2 Oktober lalu, MRA sudah pun memulakan misi bantuan kecemasan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Kota Palu dengan memberi bantuan makanan asas dan air bersih untuk mangsa terlibat.

“Dalam masa sama, sebuah pusat rawat trauma kanak-kanak dan wanita MRA sudah siap untuk beroperasi di Palu Selatan.

“Kumpulan yang kita hantar hari ini adalah kumpulan perubatan yang akan memberi bantuan awal kesihatan kepada mangsa dan disusuli dengan pakar perubatan secara berperingkat daripada MRA,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Beliau yang turut menghantar anggota misi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang berkata, sehingga hari ini, seramai 2,100 mangsa gempa dan tsunami Sulawesi Tengah disahkan terkorban.

“Dalam masa sama, sebanyak 78,994 mangsa gempa bumi hilang tempat tinggal dan 20 hospital serta pusat kesihatan hancur akibat bencana ini. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan mangsa sukar mendapat bantuan perubatan,” katanya.

Khairul Anuar meminta kepada rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi MRA boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 013-4557020 (Mohd. Fadhil Baharudin) atau 03-91744672 (pejabat MRA). - UTUSAN ONLINE