Dalam kejadian kira-kira pu­kul 4.40 pagi itu, seorang saksi Mohd. Zuki Ahmad, 39, berkata, beberapa jemaah yang baru tiba untuk menunaikan solat subuh di masjid berkenaan terkejut selepas melihat gerai hujung di Pasar Gantung itu terbakar.

“Pada waktu itu azan baharu berkumandang. Saya baru selesai mengambil wuduk dan ingin memasuki ruang solat terkejut apabila melihat api berhampiran pagar masjid.

“Kira-kira 10 minit, saya terdengar siren jentera Jabatan Bom­ba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau tiba dan bergegas memadam kebakaran di deretan gerai Pasar Gantung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ahmad ber­kata, sebanyak 57 buah gerai dan rumah kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut.

Namun katanya, sebanyak tujuh rumah kedai termasuk sebuah hotel bajet dan klinik berjaya diselamatkan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.50 pagi.

“Sebaik sahaja tiba dua minit selepas menerima panggilan kecemasan, 52 deretan gerai di Pasar Gantung itu telah musnah 80 peratus dan api merebak dengan pantas memandangkan kebanyakan gerai yang dikenali sebagai lokasi menjual pelbagai barangan termasuk kraftangan dan pakaian diperbuat daripada kayu.

“Berikutan itu, lima rumah kedai turut musnah 100 peratus manakala tujuh lagi berjaya di­selamatkan dan hanya me­ngalami kerosakan akibat asap,” katanya.

Tambah Faisal, operasi pe­madaman mengalami kesukaran disebabkan tekanan air rendah di kawasan terbabit dan pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Air Ne­geri Sabah (JANS) Tawau untuk menghantar lori tangki air sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.23 pagi.

Ujarnya, tiada kemalangan ji­wa dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak forensik JBPM sedang menjalankan siasatan me­ngenai punca kebakaran serta jumlah kerugian.