Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, hasil siasatan yang dijalankan telah mengesan lima sampel mengandungi kesan cecair mudah menyala jenis petrol di lokasi kejadian.

“Kebakaran bangunan tersebut dipercayai berpunca daripada api yang dinyalakan menggunakan petrol dan telah dicurahkan di hadapan gril pintu lipat kedai makan Seng Hing bernombor 758A di tingkat satu.

“Maklumat awal mengenai kes tersebut telah diberikan kepada pihak polis pada 15 September lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Pada 9 September lalu, kebakaran besar telah memusnahkan tingkat atas bangunan Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr. Ismail.

Bangunan dua tingkat yang berusia 39 tahun itu mempunyai sebanyak 197 gerai. - UTUSAN ONLINE