Menantu mangsa, Shahrul Nizam, 30, berkata, bapa dan ibu mertuanya tidak banyak bercakap serta enggan berjumpa dengan sesiapa sebaik pulang ke rumah semalam.

“Mereka sangat trauma dengan kejadian itu. Mereka tidak mahu diganggu dan enggan berjumpa sesiapa termasuk pihak polis yang ingin merekodkan kenya­taan mereka berhubung kejadian itu.

“Mereka masih terkejut dan ingin berehat. Bila keadaan mereka sudah pulih, mereka berjanji akan bercerita tentang apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumah pasangan tersebut di Taman Meru 2C di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, pasangan warga emas berkenaan, Md. Dahalan Baki, 74, dan isterinya, Ahadiyah Zakaria, 70, berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam lif sebuah pasar raya tersebut hampir 26 jam sebelum berjaya diselamatkan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa pergi ke pasar raya berkenaan Jumaat lalu untuk membeli barang keperluan sebelum mema­suki lif tersebut untuk keluar dari pasar raya itu pada pukul 11.30 pagi.

Bagaimanapun lif yang dimasuki mereka dikatakan tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan mereka terperangkap di dalam­nya sehingga berjaya ditemukan pada kira-kira pukul 1.04 minit petang semalam.

Tambah Shahrul, keluarganya juga telah melantik seorang peguam untuk melihat bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak terlibat.

“Peguam itu ketika ini sedang membuat penilaian tentang apa yang boleh dilakukan. Sebaik selesai, pihak kami akan membuat kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap pasar raya tersebut pula ketika ditemui memaklumkan setakat ini pihaknya tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung kejadian ber­kenaan kerana ia masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak ibu pejabat pasar raya itu di Kuala Lumpur akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan kejadian berkenaan dijangka esok atau Selasa ini.

Tambah beliau, ketika ini pihak ibu pejabat juga telah datang ke Ipoh untuk melakukan siasatan dalaman.

“Kita menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada ibu pejabat dan mereka akan melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,“ katanya.