Pengarahnya, Mohd. Radzi Abdul Mutalib berkata, paras air di semua sungai berkenaan masih selamat iaitu antara dua hingga tiga meter di bawah paras bahaya.

Antara sungai yang dipantau perkembangan paras air adalah Sungai Melaka, Sungai Duyong, Sungai Kesang dan Sungai Chohong di Jasin.

"JPS membuat pemantauan teliti berkaitan paras air sungai di negeri ini berikutan fenomena air pasang penuh yang sedang berlaku sekarang dan cuaca hujan yang kadang kala turun agak lebat di negeri ini.

"Apabila melihat paras air sungai surut kita akan membuka pintu air supaya ia dapat mengalir sekali gus mengelakkan daripada berlakunya banjir di kawasan yang dikenal pasti mudah dinaiki air," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Sungai Melaka 2017 di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman dan turut dihadiri Pengarah Sumber Air dan Hidrologi JPS, Datuk Nor Hisham Mohd. Ghazale dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Azuhan Mohamed. - UTUSAN ONLINE