Tindakan nekad itu dilakukan Hamid Mohd. Ismail, 42, selepas lelaki itu cedera parah akibat bertarung dengan buaya di Sungai Kampung Kurnia di sini pada Jumaat lalu.

Dia yang cedera di pipi, dada dan belakang badan akibat digigit bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri daripada dibaham binatang buas berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Hamid berkata, ketika kejadian pada kira-kira pukul 4 pagi itu dia yang merupakan nelayan bersiap sedia untuk ke laut dengan mencedok air bertakung di bot miliknya.

“Secara tiba-tiba tangan kiri saya disambar buaya berkenaan sebelum ditarik ke dalam sungai.

“Meskipun terkejut, dengan ku­­drat yang ada saya meronta untuk melepaskan diri namun buaya berkenaan bertindak lebih ganas dengan menggigit pipi, dada dan belakang badan sehingga berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Semalam akhbar menyiarkan kisah Hamid yang bertarung de­ngan buaya sebelum berjaya melepaskan diri dan terpaksa menjalani pembedahan di HTAA akibat kecederaan di kepalanya.

Menurut Hamid yang tinggal seorang diri di Kuala Pahang, Pekan dekat sini, dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan diri dan berjaya melepaskan diri dari terus di­serang buaya berkenaan.

“Dalam kesakitan saya bergegas naik bot dan terus menunggang motosikal ke HTAA untuk mendapatkan rawatan. Sampai sahaja di Unit Kecemasan HTAA saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.