Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohd. Azam Omar turut mengesahkan bahawa bas yang terbabit dalam insiden di Jalan Enggang AU2 Taman Keramat di sini malam tadi adalah dalam keadaan baik semasa digunakan.

“Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden berkenaan bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kecil di Jalan Enggang AU2, di Taman Keramat.

“Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam.

“Semasa dikejar bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE