KLUANG 26 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat anak kapal perang Amerika Syarikat, USS John S. McCain akan diteruskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, operasi tersebut diteruskan atas dasar persahabatan antara kedua-dua negara, termasuk angkatan tentera laut.
“Sewaktu kita ditimpa musibah melibatkan MH370 dan MH17 dahulu, sebanyak 26 negara menghulurkan bantuan.
“Kini, tiada sebab untuk kita tidak membantu mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini sebentar tadi.
Kapal perang USS John S. McCain terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kapal tangki di perairan timur Johor pada Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE