Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Hassan 'As'hari Omar berkata, kekuatan pasukan mencari dan menyelamat turut ditambah daripada 60 kepada 70 orang dari pelbagai agensi.

"Kita akan menggerakkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari lokasi kejadian sehinggalah di perangkap sampah di Kuala Selangor bagi mengesan mangsa sejauh lapan kilometer.

"Operasi ini akan diteruskan sehinggalah semua mangsa ditemukan dan kita berharap agar penduduk sekitar memberi kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya menemukan mereka," katanya dalam sidang akhbar di Kampung Paya Jaras Hulu, dekat sini malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki pada pukul 8.40 malam tadi.

Jelasnya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dekat sini. - UTUSAN ONLINE