Statistik itu dimaklumkan Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Deputi Superintenden Sahimi Husin iaitu penunggang motosikal mencatatkan angka paling tinggi dengan 18 kes kematian manakala selebihnya terdiri daripada pemandu kenderaan lain dan pejalan kaki.

Malah, jumlah kes kematian katanya, mencatatkan peningkatan sebanyak satu kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya kes kemalangan yang berlaku dalam tempoh lapan hari Op Selamat 12 di Selangor menurun kepada 332 kes berbanding tahun lalu.

"Penuruhan kes kemalangan ini antaranya berikutan peningkatan kesedaran para pengguna jalan raya menerusi kempen serta penguatkuasaan tegas yang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Sahimi menyatakan komitmen pihaknya bagi menurunkan lagi bilangan kes kemalangan di Selangor menerusi pelaksanaan Op Selamat sepanjang tahun ini.

Malah, pihaknya turut memberi tumpuan enam kesalahan utama para pengguna jalan raya iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong kenderaan barisan.

"Setakat semalam, kita telah mengeluarkan 5,003 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE