Mayat Hawanah Mohamad, 76, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tersangkut pada sebatang kayu di tebing sungai berkenaan pada pukul 1.43 petang.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar memancing ikan seorang diri dengan menaiki sebuah perahu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Katanya, setengah jam kemudian, seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter tiba-tiba muncul di permukaan sungai sebelum menerkam tangan mangsa dan menariknya ke dalam sungai.

“Seorang lelaki yang kebetulan memancing tidak jauh dari situ mendakwa mangsa sempat menje­rit meminta tolong selepas disambar reptilia itu. Lelaki itu bergegas mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi dan tiga anggota dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat Mukah dikerahkan ke tempat kejadian.

“Selepas hampir enam jam ge­rakan mencari mangsa dilakukan, mayat warga emas itu akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan gigitan buaya pada bahagian belakang badannya,” ujar beliau.