Demikian kata Nurhasmah Khalid, 63, iaitu nenek Nur Damia Ahmad Nor Al-Zaidin, 4, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, dan Norhas­lina Abdul Razak, 27, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilo­meter 35, Jalan Bota Kanan - Teluk Intan di sini pada 13 Disember lalu.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah ibu saudara Nur Damia, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24.

Menurut Nurhasmah, dia kini menggalas tanggungjawab menjaga cucunya itu yang merupakan anak tunggal.

“Kejadian yang berlaku sudah ditakdirkan Allah walaupun pahit tapi paksa diterima dan hidup perlu diteruskan.

“Saya akan memberikan kasih sayang kepada cucu saya dan memberikan pelajaran yang baik. Saya berharap dia dapat menerima kenyataan ibu bapanya sudah tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan cek faedah pengurusan mayat yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di Kampung Tapak Semenang dekat sini baru-baru ini.

Ahmad Nor Al-Zaidin merupakan pegawai khas kepada Zainol Fadzi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri.

Sementara itu, Zainol berjanji akan membantu Nur Damia mendapat pendidik yang sempurna sehingga peringkat tertinggi.

“Saya juga akan pasti saluran bantuan daripada agensi yang berkenaan serta dari syarikat insurans terus diberikan kepada ahli keluarga ini,” katanya.