Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, mangsa, Sahidi Sahdin, 41, seorang warga tempatan terjatuh dan hilang di perairan Rompin ketika menangkap ikan pada 16 Mac lalu.

“Mangsa ditemukan terdampar di persisir pantai Endau Rompin oleh orang kampung kira-kira 20 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima makluman penemuan mayat tersebut pada pukul 11.30 pagi hari ini dan disahkan sebagai nelayan yang hilang oleh isteri mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, Maritim Malaysia telah menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 4.45 petang.

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakan sebarang yang tidak diingini berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE