Hasrul Mat Hashim, 41, dipercayai keluar seorang diri untuk mencandat sotong sebelum bot miliknya ditemukan tanpa pengemudi berhampiran tenggara Pulau Buyong pada pukul 12.05 tengah hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, kapal Maritim Malaysia yang dalam tugas rondaan menjumpai bot tersebut setelah menerima maklumat awal daripada komuniti nelayan Pulau Tuba.

“Setibanya di lokasi penemuan, seorang lelaki yang merupakan abang mangsa dan dikenali sebagai Asmadi telah berada di atas bot berkenaan dan mengesahkan bahawa bot tanpa pengemudi itu milik adiknya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Rozali, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sejak pukul 12:45 tengah hari ini berikutan penemuan bot berkenaan.

“Usaha mencari dan menyelamat melibatkan sebuah kapal daripada Maritim Malaysia dan sebuah bot daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, maklumat bantuan aset juga telah disalurkan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Justeru itu, orang ramai yang menerima sebarang petanda atau maklumat berkenaan kehilangan nelayan terbabit diminta melaporkan kepada Maritim Malaysia menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750. -UTUSAN ONLINE