Mangsa, Shahrul Naim Mohamad Sukor, 38, ditemukan kira-kira pukul 9.40 pagi selepas operasi SAR diteruskan semula kira-kira pukul 8 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Abu Bakar berkata, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Tali Air 6, di sini ditemukan terapung dalam keadaan terlentang 14 kilometer dari pantai Pasir Panjang iaitu kira-kira 20 kilometer dari Pantai Redang.

"Sebuah bot penyelamat dengan kekuatan empat anggota diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Tengku Muhammad Iqbal Tengku Abu Bakar telah menggerakkan operasi SAR di perairan Pasir Panjang dan berjaya menemukan mayat mangsa di kawasan itu.

"Turut serta dalam operasi itu tiga buah bot bersama enam nelayan tempatan," katanya di sini hari ini.

Tambah Khairul Anuar, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 10.40 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.  - UTUSAN ONLINE