MUHAMAD MISWAN ISMAIL
MUHAMAD MISWAN ISMAIL

Mangsa, Muhamad Miswan Ismail, 51, dijumpai dalam keadaan terapung serta lengkap berpakaian kira-kira pukul 1 tengah iaitu selepas hampir dua jam operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira pukul 11.30 pagi ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Alhafiz Asmuni berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.26 pagi mengenai kehilangan mangsa di perairan berkenaan selepas keluar menangkap ikan sekitar pukul 6.30 pagi. 

"Sebaik sahaja menerima maklumat, kita terus menggerakkan anggota termasuk aset ke lokasi kejadian kira-kira 0.5 batu nautika berhampiran tapak projek ternakan kerang dari Bagan Sungai Janggut. Kita turut mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan-nelayan tempatan. 

"Mangsa kemudiannya berjaya ditemukan di lokasi yang tidak jauh dari kawasan tapak projek ternakan kerang itu. Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jeti Bagan Sungai Janggut menggunakan sebuah bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, kehilangan mangsa disedari seorang rakannya yang dikenali sebagai Abdul Rahman, 64, setelah mendapati telefon bimbit serta dompet milik Muhamad Miswan ditinggalkan di dalam sebuah sampan berhampiran tapak projek ternakan kerang itu. 

Abdul Rahman yang tiba kemudian di lokasi tersebut dengan menggunakan sebuah sampan lain dikatakan berusaha mencari mangsa namun gagal. 

Ekoran itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Jeram, di sini pada pukul 10.35 pagi. - UTUSAN ONLINE.