NAUFAL AMSYAR NABIL FIKRI
NAUFAL AMSYAR NABIL FIKRI

Demikian luah bapa kepada bayi malang, Naufal Amsyar Nabil Fikri yang meninggal dunia hari ini dipercayai akibat terjatuh di rumah pengasuhnya di Taman Sialang, Tangkak di sini.

Nabil Fikri Anwar, 28, berkata, mereka kini lebih fokus terhadap urusan pengebumian Naufal Amsyar yang mengalami kecederaan parah di kepala termasuk lebam dahi kiri, pendarahan di bahagian mata dan tempurung kepala retak.

Menurutnya, biarpun sudah mengetahui keputusan negatif terhadap ujian neurologi yang dilakukan, mereka sekeluarga tetap mengharapkan anak tunggalnya pulih.

“Bagaimanapun, takdir sudah menentukan Naufal Amsyar hanya bersama kami selama 10 bulan sebelum pergi hari ini buat selama-lamanya.

“Sebagai bapa saya terima qadak dan qadar, isteri saya dan keluarga juga reda serta faham dengan kejadian menimpa Naufal Amsyar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini hari ini.

Selasa lalu, Naufal Amsyar yang dijaga seorang pengasuh wanita dihantar ke Hospital Tangkak selepas dipercayai dise­rang sawan sebelum dirujuk ke HPSF.

Bayi terbabit dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 9 pagi ini di sisi Nabil Fikri dan isterinya, Noraziqah Rohmat, 23, di wad HPSF.

Tambah Nabil Fikri, mereka sedia memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan pihak polis, namun tetap tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Saya harap mana-mana pihak juga jangan salahkan sesiapa, saya pun tak salahkan pengasuh cuma saya minta kejujuran dan ketelusan. Jika berlaku apa-apa kepada anak-anak pengasuh kena berterus-terang kepada ibu bapa.

“Kemungkinan kita ada cara serta kemudahan lain untuk selamatkan atau rawat anak kita bagi memastikan tiada masalah dan sihat,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Naufal Amsyar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang setelah urusan bedah siasat selesai dilaksanakan.